Majoriti ulama berpendapat hukum mengundi adalah wajib dan ia
berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu menjadi saksi bahawa calon
yang undi adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai
pemerintah.
Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan
Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul
Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan
sebagainya.
Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar
memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak
amanah maka ia tidak boleh berkompromi dengannya. Membangunkan negara
Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh mesti
dilakukan melalui pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui
pilihan raya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk
mentadbir negara.
Secara ringkas:
Mengundi adalah satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah
bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan negara Islam.
Mengundi dalam pilihan raya termasuk dalam konteks jihad kerana
menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi
memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
Dalam ilmu usul fiqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib
mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu
tempoh mengundi bagi pilihan raya Malaysia adalah lima tahun sekali,
maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihan raya sahaja iaitu
dalam tempoh lima tahun sekali.
Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihan raya.
Muhamad Zuhaili Saiman, Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Dari blog – Permata Perjuangan
Sumber : Sinar Harian Online
5 Mei 2013