Berbicara tentang hati sebenarnya adalah sebanarnya berbicara tentang siapa diri kita. Kerana hati ibarat ketua dalam diri anda manakala anggota tubuh adalah pekerjanya. Jika kuat ketuanya, maka pekerjanya juga akan kuat. Begitu juga apabila ketuanya positif dan berwawasan maka pekerjanya juga positif dan aktif bergerak merealisasikan wawasan ketua.
Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah hati yang suci murni. Namun jika hati tidak diurus dan dijaga dengan bersungguh-sungguh, ianya secara semulajadinya amat mudah dikotori dan dicemari. Namun, bagaimanakah caranya menguruskan dan membersihkan hati? Berikut adalah cara terbaik yang dianjurkan untuk membantu kita menyucikan kembali hati yang kurang jernih.
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.
(Riwayat Muslim)
1. Banyak meluangkan masa untuk muhasabah diri.
Waktu terbaik untuk muhasabah diri adalah selepas selesai solat fardhu. Ambillah sedikit masa untuk duduk diam seketika selepas selesai solat dengan melihat dan merenung kembali kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam diri. Mengingati kekurangan dan kelemahan bukanlah untuk disesali tetapi untuk diperbaiki.
Waktu yang terbaik juga untuk muhasabah diri adalah beberapa ketika sebelum terlelap pada waktu malam. Soalan yang harus ditanyakan dalam diri ialah “ Apa yang sudah saya lakukan sepanjang hari ini?”
2. Terima hakikat tiada kejayaan sebenar di dunia ini.
Terimalah hakikat bahawa kejayaan di dunia ini bukanlah ukuran kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan sebenar adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT, kita dikurniakan syurga. Kejayaan yang dikecapi di dunia adalah subjektif, dan ianya berbeza mengikut individu. Hati akan mudah terubat apabila kita membisikkan “ tidak ada yang sempurna di dunia ini,” apabila menemui kegagalan di dalam sesuatu usaha.
3. Berusaha mendapatkan ilmu berkaitan diri sendiri
Ramai yang tidak percaya akan kewujudan dan kepekaan pancaindera yang keenam iaitu “pandangan mata hati”. Namun begitu, ilmu berkaitan dengan diri sendiri mudah diperoleh jika kita menggunakan pancaindera ini, dan dengannya juga kita mampu melihat dan menilai segala kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri. Namun bagaimanapun pancaindera ini akan lebih efektif sekiranya diri kita selalu dekat dengan Allah dan patuh kepada setiap perintah-Nya.
4. Belajar daripada orang lain.
Belajar daripada orang lain adalah sebahagian daripada proses kehidupan dan perkembangan seseorang manusia. Proses pembelajaran ini akan lebih berkesan dengan melihat setiap perkara yang berlaku di sekeliling dengan kaca mata seorang pelajar dan digabungkan dengan pandangan mata hati hendak belajar. Melalui proses inilah segala yang buruk dapat dijadikan pengajaran untuk dihindari manakala perkara baik yang ditemui, tempuhilah sebagai pedoman untuk terus memperbaiki diri. Ingatlah, orang yang bijaksana menjadikan semua perkara di sekelilingnya sebagai tempat belajar dan sentiasa memperbaiki kualiti hatinya.
No comments :
Post a Comment